Keberkatan amalan berpuasa 3 bulan sangat dirasai dalam menyatukan keluarga ke arah menjadi khalifah Allah. Puasa 3 bulan ini juga adalah merupakan modal kerohanian untuk kita mengharungi kehidupun yang penuh berkat selepas bulan Ramadhan hingga kita bertemu kembali bulan Rejab.
Sabda Nabi s.a.w.:
Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab,nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.
Sabda Nabi s.a.w.:
Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya’aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku.
Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya,
Sya’aban dengan malam NISFUnya
Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.
Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
“Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian Ku dankebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu,
engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau”.(dari kitabRaudatul Ifkar)
ANTARA KELEBIHAN BERPUASA PADA BULAN REJAB
Puasa 1 hari - seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredaan Allah serta syurga tertinggi
Puasa 2 hari - mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipat gandakan pahalanya
Puasa 3 hari - dijauhkan dugaan dunia oleh Allah swt, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka
Puasa 4 hari - diselamatkan daripada siksaan akhirat kelak serta fitnah dajal
Puasa 5 hari - aman dari azab kubur
Puasa 6 hari - dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya
Puasa 7 hari - Allah mengunci tujuh pintu neraka jahanam baginya
Puasa 8 hari - Allah membuka lapan pintu syurga baginya
Puasa 9 hari - keluar dari kuburnya lalu menyeru Laailahaillallah dan tidak ditolak dia dari memasuki syurga
Puasa 10 hari - Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratul Mustaqim setiap satu batu dan dijadikan dua sayap untuk terbang di Titian Siratul Mustaqim
Puasa 13 hari - Saidina Ali berkata fadilatnya seperti puasa 3000 tahun
Puasa 14 hari - Saidina Ali berkata fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun
Puasa 15 hari - Allah mengampunkan dosanya yang lalu dan menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun
Puasa 16 hari- dapat melihat wajah Allah dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah dalam syurga
Puasa 19 hari - dibina sebuah mahligai di hadapan mahligai nabi Ibrahim dan nabi Adam
Puasa 20 hari - Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu dan melakukan amalan yang baik dengan baki umurnya
Sesiapa yang berpuasa 3 hari dalam bulan ini dan beribadat di malamnya seperti berpuasa 3000 tahun, diampunkan baginya dosa 70 dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasad, 70 hajat ketika dalam kubur, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan ke langit) 70 hajat ketika amalannya ditimbang di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui Titian Siratul Mustaqim
Berkata Saidina Ali:
* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.
Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Qur’an atas segala Qalam.
Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari Syurga.
Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya.
Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.
Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.
Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:
* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.
Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti.
Sasiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.
Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada atahari seribu kali.
Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab,
Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.
Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.
Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.
Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.
Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya(berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun.
Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Qur’an dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.
Rejab ertinya ta’zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu
maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.
Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.
ANTARA KELEBIHAN BERPUASA PADA BULAN SYA'BAN
( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya )
2. Telah memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina ‘Aishah telah memberitahunya dengan berkata : Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban, dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan ( mewajib )kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah sembahyang(sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.
( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)
3. Telah memberitahuku Muawiyah bin Soleh daripada Abdullah bin Abi Qais sesungguhnya dia telah mendengar Sayyidatina ‘Aishah berkata : Bulan yang disukai oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda S.A.W berpuasa padanya adalah bulan Sya’ban kemudian disambung puasa pada bulan Ramadhan.
( Hadis ini sanadnya Hasan dan diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaei, Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi)
4. Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai)
HADIS MENGENAI KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN
1. Daripada Makhul daripada Malik bin Yakhamir daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya Allah ta’ala memerhati makhlukNya pada malam nisfu(pertengahan) daripada Sya’ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan.
( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani )
2.Daripada Hisham bin Hassan daripada ( Al-Hasan daripada) Usman bin Abi Al-’As daripada Nabi S.A.W telah bersabda : Apabila tibanya malam nisfu (pertengahan) daripada bulan Sya’ban, pemanggil akan memang- gil : Adakah daripada mereka yang memohon keampunan maka nescaya diampun baginya ? Adakah daripada kalangan mereka yang meminta maka akan diberi? Maka tidak ada seseorang yang memohon sesuatu melainkan akan diberi melainkan penzina dengan kemaluannya ataupun orang syirik.
( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Al-Kharaiti, Al-Baihaqi dan imam Sayuti )
Penerangan Hadis
1. Hadis-hadis ini menjelaskan kepada kita bagaimana kelebihan bulan Sya’ban yang mana Rasulullah S.A.W sentiasa berpuasa bahkan melebihi bulan-bulan yang lain.
2. Hadis-hadis ini juga menerangkan bagaimana hukum berpuasa pada bulan Sya’ban iaitu sunat bukannya wajib. Oleh itu baginda S.A.W kadang-kadang berpuasa penuh sebulan pada bulan ini dan pada suatu ketika baginda tidak berbuat demikian. Kita perlu ingat bahawa setiap perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan sunnah fi’liyyah (sunnah yang berasaskan perbuatan) yang boleh dijadikan hujjah di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
3. Baginda S.A.W juga menggalakkan kita agar di dalam melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah maka ia mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Kita kadang-kadang melakukan perkara ini secara banyak tetapi tidak berterusan dan ia dilakukan apabila timbulnya perasaan rajin sahaja. Ini menyebabkan kita kurang merasai hikmat dan kesan daripada amalan tersebut. Ini kerana apabila ia dilakukan secara berterusan akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja.
4. Galakan ini juga bertujuan untuk melatih dan membiasakan kita dengan berpuasa sebelum masuknya bulan Ramadhan yang memang kita mesti berpuasa padanya.
5. Baginda juga menekankan bagaimana seseorang muslim mesti percaya bahawa setiap amalan yang dilakukan bukanlah sia-sia malah ia akan diangkat kepada Allah untuk dihisab kualitinya. Apabila perasaan ini timbul sepanjang kehidupan dan peribadatan kita seharian akan menyebabkan kita semakin yakin kepada balasan Allah terhadap apa yang telah kita sama-sama tunaikan. Ini dapat menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu ibadat sambil lewa dan penuh dengan perasaan malas dan juga mampu memberi peringatan agar jangan mendekati segala maksiat kerana setiap gerak laku kita diperhati dan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
6. Baginda S.A.W juga menjelaskan bagaimana adanya waktu-waktu tertentu yang mempunyai kelebihannya tersendiri seperti pada hari Isnin dan Khamis serta pada bulan Sya’ban terutama pada malam pertengahan bulannya. Baginda S.A.W juga mengajar kita agar menggunakan kesempatan yang ada dengan berdoa dan beribadah kepada Allah.
7. Islam mengajar kita agar menjaga masa dan menggunakan peluang yang ada untuk beribadat bukannya dihabiskan begitu sahaja disebabkan kita tidak merasa berdosa apabila tidak mempedulikan masa. Orang kafir mapu menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara berfaedah serta tidak kurang juga digunakan untuk mengatur strategi di dalam menyerang Islam. Adakah kita terus hanyut dibuai mimpi sedangkan musuh Islam telah lama merancang untuk menghancurkan kita.
8. Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah S.A.W pernah memarahi sahabat yang hanya mahu beribadat khusus sahaja sedangkan baginda S.A.W sendiri bukan sahaja merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kuffar yang menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.
9. Islam mencela mereka yang syirik, berzina dan bermusuhan yang mana doa mereka tidak dimaqbulkan.
RUJUKAN:
1. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibnu Hajar jilid 4 cetakan Maktabah Al-Risalah Al-Hadisah
2. Syarah Sohih Muslim oleh imam An-Nawawi jilid 15/16 cetakan Darul Makrifah
3. Kitab Fadahailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah
PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN
Sabda Nabi s.a.w.;
إِذَا بقي نصفٌ من شَعبَانَ فَلاَ تصُومُوا
“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)
Berdasarkan hadis ini dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban bermula dari tanggal 16 haribulan hinggalah akhir bulan terutamanya sehari atau dua hari sebelum Ramahan (termasuklah hari Syak yang akan disebutkan nanti), sama ada puasa sunat atau puasa kerana ihtiyat (yakni dengan niat puasa Ramadhan sebagai berhati-hati) yang kebiasaannya berlaku di penghujung Sya’ban. Menurut Imam ar-Ruyani; mendahului Ramadhan dengan puasa selepas nisfu Sya’ban hukumnya adalah makruh. Adapun sehari atau dua hari sebelumnya, maka hukumnya adalah haram.
Namun menurut ulamak dikecualikan dari larangan berpuasa selepas Nisfu Sya’ban di atas orang-orang berikut;
1) Orang yang menyambung puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya’ban masuk separuh kedua (yakni sebelum tanggal 16 haribulan) sekurang-kurangnya puasa pada hari nisfu Sya’ban. Dan disyaratkan puasanya itu berterusan hinggalah ke penghujung Sya’ban.
2) Orang yang mempunyai kebiasaan puasa tertentu seperti puasa isnin dan khamis, puasa selang sehari atau puasa ad-dahri, kemudian puasanya itu secara kebetulannya melintasi hari-hari selepas nisfu Sya’ban.
3) Orang-orang yang berpuasa dengan bersebab seperti nazar, kaffarah atau Qadha’ (termasuklah qadha’ puasa sunat)
PUASA SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM RAMADHAN
Dilarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w. iaitu;
لا تَقَدَّمُوا شَهرَ رَمضَانَ بصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمََيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Sebahagian ulama’ berpendapat; pengharaman tersebut adalah dengan niat ihtiyat kepada Ramadhan.
Namun bagi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie; pengharaman tersebut merangkumi juga puasa sunat kecuali dalam bagi tiga orang yang disebut tadi;
1) Orang yang menyambung puasa yang dilakukan sebelumnya
2) Orang yang puasa kerana kebetulan dengan kebiasaan berpuasanya.
3) Orang berpuasa dengan bersebab seperti puasa Qadha, Nazar dan sebagainya.
PUASA HARI SYAK
Dilarang berpuasa pada hari syak berdalilkan hadis dari ‘Ammar bin Yasir r.a. yang menceritakan;
من صَامَ اليومَ الَّذِي شُكَّ فِيهِ فقد عصَى أَبا القاسمِ
“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Hari syak ialah hari ke 30 Sya’ban yang timbul syak atau keraguan di kalangan orang ramai; apakah ia masih bulan Sya’ban atau telah masuk bulan Ramadhan? Keraguan itu timbul kerana ada suara-suara yang memperkata atau menghebohkan bahawa anak bulan Ramadhan telah kelihatan, namun tidak ada saksi yang adil atau yang boleh diterima yang memberitahu atau mendakwa ia melihat anak bulan itu. Hari syak ini diharamkan berpuasa sama ada dengan niat puasa Ramadhan sebagai ihtiyaht (yakni berhati-hati) atau puasa sunat. Jika ada yang berpuasa juga pada hari syak, puasanya batal dan ia berdosa.
Walau bagaimanapun, dikecualikan larangan tersebut dari tiga orang yang disebut tadi.
JOM KITA BERPUASA BULAN REJAB, SYA'BAN DAN RAMADHAN!
Wallahu a’lam.
sumber blog hafidz fcu
No comments:
Post a Comment