Tuesday 9 July 2013

9 Formula Untuk Memulakan Sesuatu Perniagaan

Allah humma sollia'la, saiyidina muhammad, wa'ala saiyidina muhammad

Ramai orang yang bekerja atau mereka yang baru menceburi bidang perniagaan 
yang bertanya saya tentang bagaimana untuk memulakan perniagaan mereka. 
Tetapi, ramai mereka ini yang ingin berniaga apabila ditanya kenapa mereka mahu 
berniaga, rata-ratanya akan menjawab "Sebab ingin kaya!" atau "Ingin banyak duit!". 
Tetapi berdasarkan pengalaman serta kajian saya sendiri, saya mendapati hampir 90% 
yang baru berniaga, mereka bukan sahaja tidak buat banyak duit, tetapi akhirnya 
mereka bukan sahaja "tutup kedai" atau gagal serta mengalami kerugian atau 
menanggung hutang.

Saya bukan berniat menakut-nakutkan anda, tetapi itulah hakikat mereka 

yang mula berniaga tanpa prinsip M.E.S.T.I (M=Mentor, E=Elmu, S=Sistem/Strategi
 yang betul, T=Tindakan yang betul & I=Impian yang jelas). Ramai yang 
ghairah melihat orang lain berniaga dan berjaya merubah hidup mereka, 
tetapi ramai yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak ada ilmu
berniaga atau mereka tidak ada mentor yang terbukti berjaya yang mereka
 boleh pelajari daripadanya dan mereka lebih rela "melanggar dinding" 
menghabiskan duit, buang masa dan tenaga "mencuba nasib" di dalam 
perniagaan baru yang mereka ingin mulakan. Tahukah anda bahawa 
ada 9 formula atau langkah yang anda perlu lakukan untuk anda 
meningkatkan peluang kejayaan di dalam sesebuah perniagaan 
apatah lagi jika ianya akan menjadi perniagaan baru anda?

Pertama: Matlamat Perniagaan & Peribadi Yang Jelas

Sebelum anda mula berniaga, anda perlu jelas dengan apakah sebab 

utama anda ingin memulakan perniagaan tersebut? Kenapa anda ingin 
berniaga? Apakah yang anda inginkan daripada perniagaan tersebut? 
Apakah matlamat peribadi yang anda ingin capai dengan menggunakan
perniagaan tersebut sebagai alat? Apakah impian anda? Adakah anda
 lakukannya untuk orang-orang yang anda sayangi? 

Kebanyakan mereka yang berjaya di dalam perniagaan adalah

 mereka yang pada asalnya mempunyai matlamat yang jelas tentang
 kenapa mereka mahu mulakan perniagaan tersebut. Dan ramai juga 
yang bermula dengan tidak menyangka yang ianya akan menjadi 
perniagaan yang berjaya tetapi mereka mempunyai matlamat 
peribadi pada asalnya yang mereka ingin capai. Contohnya, 
Warren Buffet, salah seorang billionnaire dunia, lebih 35 tahun dahulu
beliau bermula hanya daripada minat beliau terhadap produk-produk
baru yang ada dipasaran dan menyebabkan beliau suka untuk membeli 
saham-saham yang ditawarkan oleh syarikat pengeluar produk-produk 
tersebut dan akhirnya semua saham yang beliau beli meningkat beratus 
ribu kali ganda berpuluh tahun kemudian. Mark Zuckerberg bermula dengan
 matlamat peribadi untuk mengenali ramai gadis-gadis di universitnya dan 
akhirnya terciptalah satu sistem internet yang dipanggil "Facebook". Ada
 sesetengah jutawan peserta program saya yang bermula daripada tanpa 
wang atau sedikit wang di dalam poket mereka tetapi disebabkan mereka 
bermatlamat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada orang 
yang mereka sayangi, maka mereka mulakan perniagaan tersebut.

Kenapa matlamat yang jelas ini penting? Selain daripada ianya dapat 

membantu anda untuk mempunyai fokus yang anda ingin capai, ianya 
adalah lebih penting dikala anda berdepan dengan cabaran ataupun 
halangan di dalam perniagaan anda supaya anda akan sentiasa ingat,
 kenapa anda mulakan perniagaan tersebut dan untuk apa atau untuk 
siapa serta kenapa anda perlu buat sehingga berjaya.

Tuliskan dengan jelas apakah matlamat yang anda ingin capai serta

 tarikh ataupun tempoh bila anda mahu merealisasikan matlamat tersebut. 

Kedua: Kenalpasti apakah masalah yang boleh diselesaikan dengan 

menggunakan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi yang bakal anda 
berikan?

Ya. Ini adalah sebab kenapa ramai usahawan terutamanya usahawan 

baru gagal memasarkan produk atau perkhidmatan mereka dengan
 berkesan. Ramai usahawan yang saya jumpa bila ditanya, apakah 
masalah kritikal yang dihadapi oleh ramai orang yang menyebabkan 
mereka sangat memerlukan produk atau perkhidmatan anda? Ramai 
usahawan ini tidak mampu menjawabnya atau mereka menjawab 
tanpa keyakinan yang tinggi sehingga mereka tidak mampu meyakinkan
saya sebagai pelanggan untuk menggunakan produk mereka,
 sedangkan produk mereka sebenarnya berkualiti tinggi.

Sebab itu amatlah penting untuk anda mengenalpasti sebanyak 

mungkin masalah yang boleh diselesaikan lantaran menggunakan 
produk atau perkhidmatan yang anda berikan. 
Contoh, sekiranya anda menjual karipap panas berintikan daging 
serta kentang diwaktu petang dan ianya memang sangat sedap. 
Masalah yang anda boleh selesaikan ialah anda menyelesaikan
 masalah mereka yang ingin minum petang berbekalkan karipap 
panas dikawasan-kawasan pejabat bukan? Anda juga menyelesaikan
masalah isteri-isteri yang ingin menghidangkan karipap panas sedap untuk
 anak-anak mereka serta keluarga diwaktu petang dikawasan-kawasan 
perumahan. Anda juga menyelesaikan masalah mereka yang rindu 
karipap panas masakan ibu mereka dikampung. 

Lebih banyak masalah yang anda boleh kenalpasti yang bakal anda

 dapat selesaikan dengan produk atau perkhidmatan anda, maka lebih
 mudah anda akan dapat pasarkannya serta lebih yakin orang dengan anda.

Ketiga: "Bootstrap"

Ramai orang yang beranggapan bahawa untuk berniaga, anda 

perlukan modal wang permulaan yang besar. Terus-terang saya katakan 
bahawa anda tidak semestinya bermula dengan modal yang besar, 
malah ramai peserta program-program keusahawanan saya yang
 memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan dengan tanpa modal
 atau dengan modal yang paling minima terlebih dahulu sehingga mereka 
benar-benar yakin untuk membesarkannya. Teknik memulakan perniagaan
 tanpa modal ini dipanggil sebagai "Bootstrap". Anda mulakan dengan apa
 sahaja yang anda ada. Anda gunakan apa sahaja bakat, minat atau 
kemahiran yang anda ada untuk ditawarkan kepada  mereka yang 
perlukannya. Atau ramai yang bermula dengan menjual produk atau 
perkhidmatan orang lain terlebih dahulu. untuk menimba pengalaman 
serta mengumpulkan modal. Teori kisah Mat Jenin adalah sangat berguna 
untuk diambil iktibar. Mulakan dengan mengambil upah panjat kelapa,
kemudian duit upah itu digunakan untuk membeli ayam, bila ayam bertelur, 
jual telurnya dipasar, kemudian kumpul duitnya sehingga cukup beli 
kambing, selepas bela kambing, jual susunya dan kemudian jual kambing 
sehingga dapat beli lembu, apabila telah mempunyai lembu, perah 
susunya dan jual sehinggalah satu hari nanti lembu semuanya boleh
 dijual dan Mat Jenin menjadi kaya.... Masalah yang ada 
dalam kisah Mat Jenin adalah, ianya adalah angan-angan 
sahaja tanpa tindakan. 

Tetapi, kita boleh ambil iktibar kaedah "Bootstrap" yang digunakan

 serta kesabaran juga amat penting selain daripada sentiasa bersedia
 untuk memperbaiki diri.

Keempat: Test, Trial & Adjust

Sekiranya anda ingin berniaga serta memasarkan produk baru dipasaran 

ataupun anda ingin memasarkan perkhidmatan yang terbaru. Anda perlu
 "menguji" permintaan dipasaran dengan menjalankan percubaan serta 
ujian demi ujian dan bersedia mengubahsuai produk atau pekhidmatan 
anda sehingga ianya benar-benar mudah diterima oleh pasaran. Tidak 
ada produk yang baru dijual yang tidak diuji terlebih dahulu serta dibuat
 kajian pasaran. Contohnya karipap berinti daging dan kentang yang ingin 
kita pasarkan, ianya perlulah diberi makan kepada beberapa orang dalam
 tempoh sesuatu masa dan mendapatkan maklumbalas jujur mereka agar 
anda dapat mengubahsuai rasanya atau bentuknya  sehingga anda 
benar-benar puashati sebelum anda jual dipasaran. 

Kelima: Mengembangkan perniagaan menggunakan keuntungan 

daripada perniagaan anda bukan dengan pinjaman

Formula ini amat kritikal di dalam perniagaan, apatah lagi jika ianya

 adalah perniagaan baru. Hanya perniagaan yang untung ketika kecil 
yang akan untung bila ianya besar nanti. Konsistensi di dalam 
keuntungan akan membuatkan perniagaan anda 
mempunyai potensi aliran tunai yang bagus. Perancangan 
kewangan serta menyimpan  sebanyak mungkin keuntungan 
secara konsisten akan membuatkan anda dapat 
mengembangkan lagi perniagaan anda tanpa anda perlu meminjam. 
Contohnya, anda telah memulakan perniagaan karipap anda ini secara
 kecil-kecilan dengan satu tapak. 
Dan tapak ini boleh berikan anda keuntungan bersih RM100 sehari. 
Apabila anda kumpulkan sebahagian duit keuntungan ini, maka ianya
 memungkinkan anda untuk membuka tapak yang kedua, ketiga, 
keempat dan tapak-tapak berikutnya dengan mudah tanpa pinjaman.
 Bayangkan jika dalam tempoh tertentu anda dapat mengembangkan
 tapak perniagaan anda kepada 10 tapak, maka ini bermakna anda
 boleh mendapatkan keuntungan bersih RM1,000 sehari melalui perniagaan
 karipap panas anda tersebut. 
Anda tidak perlu meminjam untuk mengembangkan perniagaan anda.

Keenam: Pilih "tentera" anda dengan teliti dan betul

Maksud "tentera" di sini adalah pekerja.Tidak ada orang yang akan mampu 

melakukan semua perkara berseorangan. Usahawan yang bijak adalah 
usahawan yang pandai memilih pekerja yang bagus untuk membantu kejayaan 
perniagaannya. Dalam hal ini, anda perlu belajar bagaimana memilih pekerja 
mengikut kriteria yang anda tentukan. Anda perlu tuliskan "pekerja impian" yang 
anda mahukan sebagai satu garis panduan anda di dalam memilihnya nanti.

Ketujuh: Mendapatkan fasiliti kewangan berdasarkan aliran tunai perniagaan 

anda yang positif . Setelah anda berniaga di dalam satu tempoh waktu dan 
anda berjaya konsisten di dalam keuntungan serta aliran tunai anda menunjukkan 
peningkatan yang konsisten serta positif, anda akan meletakkan diri anda serta 
perniagaan anda di dalam kategori usahawan yang mempunyai kredibiliti untuk 
diberikan pinjaman. Walaupun adalah bagus jika anda boleh mengembangkan 
perniagaan anda tanpa membuat sebarang pinjaman bank tetapi sekiranya aliran 
tunai anda adalah positif dan bagus, anda mungkin layak untuk mendapatkan
fasilit atau pinjaman bank. Sebab itu amat penting untuk mempunyai disiplin dengan
memasukkan duit jualan anda ke dalam satu akaun anda atau akaun
perniagaan anda supaya ianya menunjukkan aliran tunai yang bagus dan 
konsisten. Kesilapan ramai usahawan baru dan kadang-kadang yang lama 
adalah mereka tidak memasukkan duit jualan mereka ke dalam akaun bank 
mereka terus, malah mereka terus ambil duit tersebut untuk beli stok atau 
sebagai modal pusingan. Ini merupakan kesilapan yang paling besar. Sekiranya 
satu hari nanti anda perlukan fasiliti kewangan daripada pihak bank, mereka tidak
 berapa berminat dengan "kisah" jualan perniagaan anda yang tinggi tanpa 
mereka dapat melihatnya masuk ke dalam akaun bank anda. Fasiliti kewangan 
atau pinjaman bank akan lebih mudah anda dapat sekiranya anda boleh 
menunjukkan aliran tunai yang konsisten, positif dan bagus masuk ke dalam
 penyata akaun bank anda. 

Kelapan: Mulakan dengan berniaga secara sampingan

Ya benar! Sekiranya anda masih bekerja, saya mencadangkan agar anda mulakan

 perniagaan anda secara sampingan. Saya mempunyai peserta seminar saya yang 
suaminya masih bekerja sebagai seorang jurutera dan isterinya seorang pembantu 
perubatan, tetapi mereka juga memiliki sebuah perniagaan butik pakaian kanak-kanak 
dan bayi di sebuah pasaraya yang mereka jalankan secara sampingan. Saya juga 
mempunyai beberapa orang lain yang masih bekerja tetapi mengambil tempahan 
membuat kek dirumah setelah habis waktu kerja mereka. Anda hanya akan berhenti 
kerja apabila anda sendiri benar-benar yakin dengan perniagaan yang anda lakukan 
dan anda telah bersedia memberikan lebih banyak masa untuk pulangan yang lebih 
daripada masa yang anda gunakan untuk bekerja.

Kesembilan: Kuasai pemasaran- Sentiasa bersedia untuk "kembali ke sekolah"

Kunci utama kepada kejayaan sesebuah perniagaan juga sudah pastinya bergantung

 kepada konsistensi pelanggan yang membeli daripada anda bukan? Jika produk
 makanan yang anda buat adalah sangat sedap tetapi jika tidak ada yang tahu serta
 mahu membelinya, maka anda mungkin terpaksa makan sendiri produk-produk tersebut. 
Ramai usahawan baru dan lama yang tidak sedar betapa pentingnya ilmu pemasaran
supaya anda sentiasa menarik ramai pelanggan agar jualan anda serta keuntungan 
anda sentiasa tinggi. Ramai jug yang tidak tahu bagaimana untuk menjalankan strategi 
pemasaran yang mudah dan berkesan untuk perniagaan mereka. Sebagai usahawan, 
produk atau perkhidmatan anda pasti alan gagal jika ianya tidak dipasarkan dengan 
betul dan di sinilah pentingnya untuk anda bersedia "kembali ke sekolah", kembali 
meningkatkan ilmu pemasaran anda dengan belajar melalui buku-buku ataupun 
menghadiri seminar-seminar keusahawan atau pemasaran agar perniagaan anda tidak
 ketinggalan. Anda pasti hampir gagal jika pesaing anda mempunyai ilmu pemasaran 
yang lebih hebat daripada anda walaupun mungkin produk atau perkhidmatan mereka 
tidaklah sehebat produk anda!



No comments:

Post a Comment