Sunday 6 October 2013

Mengambil kisah daripada seorang sahabat mengenai SAKIT JANTUNG~ DUIT BUKAN SEGALANYA TAPI SEGALANYA PERLU DUIT ~

Ramai yang tidak sedar bahawa lemah jantung (congestive heart failure) sebenarnya lebih teruk daripada barah payudara. Apatah lagi penyakit itu bukan diagnosis sebaliknya komplikasi jantung. Pakar Perunding Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Haizal Haron Kamar, berkata lemah jantung merujuk pada kegagalan jantung untuk mengepam darah secukupnya mengikut keperluan tubuh.
“Apa saja masalah jantung boleh membawa kepada lemah jantung. Apabila jantung gagal mengepam darah mengikut keperluan, darah tidak diagihkan dengan baik dan bertindak menekan salur darah. Ini menyebabkan cecair terkeluar daripada salur darah dan masuk ke tisu badan,” katanya.
Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk menceritakan sedikit mengenai situasi saya sewaktu diserang penyakit jantung. Setelah tamat pengajian saya di Politeknik Kuching Sarawak, saya mula berkerja sebagai seorang Juruteknik Elektrik di salah sebuah syarikat yang berada di Kuching. Saya berkerja selama enam bulan dan berhenti pada bulan Mei 2008 kerana mengalami masalah pada kesihatan.
Dulu saya seorang perokok dan sering minum minuman beralkohol. Saya langsung tidak menghiraukan apa-apa kesan disebaliknya kerana bagi saya kepuasan adalah lebih penting daripada kesan. Saya mula menyedari ada perubahan pada diri saya pada bulan Mei 2008, dimana saya merasakan bahawa diri saya semakin gemuk.
Pada mulanya saya berasa gembira dengan perubahan ini kerana sebelum ini badan saya agak kurus. Sejak daripada perubahan tersebut saya merasakan bahawa diri saya semakin cepat lelah dan sering sesak nafas. Naluri saya mengatakan bahawa berkemungkinan besar saya diserang asma ataupun kerana badan terasa terlalu penat. Saya ketepikan semua andaian yang bermain difikiran dan terus berkerja.
Sejak daripada perubahan tersebut, badan saya sering berasa panas dan saya terpaksa menggunakan dua buah kipas semasa tidur walaupun ketika hari hujan. Pernah juga terlintas difikiran saya untuk membuat pemeriksaan di hospital tetapi saya amat takut dengan keputusan yang bakal saya perolehi selepas pemeriksaan tersebut. Oleh kerana tidak sanggup menerima keputusan yang bakal diberikan oleh doktor jadi saya mengambil keputusan untuk tidak pergi ke hospital.
Minggu dari minggu dilalui, semakin hari saya merasakan badan saya semakin lemah dan degupan jantung semakin laju daripada biasa. Nafas terasa sesak sewaktu saya baring dan saya langsung tidak dapat melelapkan mata.
Oleh kerana tidak dapat lagi menahan kesakitan yang dirasai, jadi pada malam 29 Mei 2008 saya mengambil keputusan untuk pergi ke hospital. Ketika itu saya menggunakan motorsikal untuk pergi ke hospital. Semasa dalam perjalanan menuju ke hospital yang memakan masa selama 20 minit dari Matang Jaya Kuching ke Hospital Umum Sarawak, badan saya terasa amat sakit ketika melalui jalan raya yang tidak rata tetapi terpaksa saya tertahan untuk sampai ke hospital. Syukur kepada Tuhan kerana saya selamat sampai ke hospital. Sesampainya di hospital saya terus ke bahagian kecemasan. Disebabkan doktor yang bertugas pada masa itu hanya tiga orang jadi saya terpaksa menunggu selama 2 jam 30 minit untuk diperiksa.
Setelah sekian lama menunggu untuk diperiksa, akhirnya saya dipanggil masuk ke bilik pemeriksaan. Pemeriksaan mengambil masa lebih kurang 15 minit dan setelah diperiksa, pegawai pemeriksa mengesahkan bahawa saya diserang gastrik. Jadi setelah diberikan ubat saya pun kembali semula ke rumah.
Pada keesokan harinya iaitu 30 Mei 2008, oleh kerana syarikat memberikan kami cuti bagi meraikan hari gawai, jadi saya mengambil keputusan untuk balik ke Sri Aman. Perjalanan dari Kuching ke Sri Aman mengambil masa lebih kurang 3 jam dan saya terpaksa bertahan selama 3 jam untuk sampai ke Sri Aman. Sekali lagi saya rasa bersyukur kepada Tuhan kerana saya selamat sampai ke Sri Aman. Oleh kerana telah melalui perjalanan yang agak panjang jadi perut saya pun berasa lapar, jadi saya pun makan. Oleh kerana badan terlalu penat jadi setelah selesai menjamu selera saya pun mengambil keputusan untuk berehat dan tidur. Sewaktu saya tidur nafas saya mulai sesak dan badan saya terasa panas walaupun menggunakan penghawa dingin tetapi saya masih lagi berpeluh.
Melihat keadaan saya yang sedemikian rupa saya terus dikejarkan ke hospital Sri Aman pada malam 30 Mei 2008. Setibanya di hospital saya terus diperiksa dan setelah itu pegawai pemeriksa pun memberitahu bahawa saya menghidap kencing manis. Oleh kerana keluarga saya tidak berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak hospital jadi keputusan yang seterusnya diambil oleh keluarga saya ialah kaedah perubatan tradisional.
Sejak daripada itu badan saya terasa amat lemah dan langsung tidak dapat melelapkan mata walaupun sesaat kerana saya sering batuk. Yang menjadi persoalannya disini ialah badan saya berasa elok pada siang hari dan apabila menjelang malam ia seakan air pasang yang menghempas ke tebing kerana ketika itulah nafas saya mulai sesak dan saya langsung tidak baring. Setiap kali saya baring dada saya seakan dipenuhi air. Semasa berada dalam keadaan yang tenat, saya merasakan diri saya langsung tidak berguna dan saya juga pernah melakukan perbuatan yang bodoh iaitu cuba untuk membunuh diri dengan menghantukkan kepala ke dinding. Saya juga telah pergi ke hampir seluruh Sarawak dan telah berjumpa dengan pelbagai bomoh dan dukun bagi mendapatkan rawatan yang lebih berkesan.
Bulan demi bulan dilalui, dan setelah selesai perubatan tradisional barulah saya dibawa ke hospital pakar iaitu Kuching Specialist yang terletak di Jalan Tabuan Kuching. Selama 3 hari 2 malam di hospital berkenaan dan diperiksa dari hujung rambut sehingga hujung kaki akhirnya doktor pakar mengesahkan bahawa saya menghidap penyakit lemah injap jantung. Semasa berada di hospital berkenaan berat badan saya turut diambil dan pada hari pertama semasa masuk ke hospital berkenaan berat saya ialah 59kg dan setelah 3 hari berada disana, sekali lagi saya ditimbang dan berat saya menurun sebanyak 10kg iaitu 49kg.
Doktor juga turut menerangkan kepada saya apabila injap jantung lemah berat badan akan bertambah diikuti masalah sembab air. Bengkak air (edema) adalah tanda kegagalan jantung sebelah kanan. Oleh kerana itu, saya dinasihatkan agar tidak meminum air yang banyak dimana air yang boleh saya minum dalam sehari ialah tidak melebihi 250ml dan saya terpaksa menggunakan gelas atau cawan yang mempunyai sukatan. Mengikut keterangan yang diberikan oleh doktor, saya terpaksa menjalani pembedahan untuk memperbaiki injap yang rosak. Kos pembedahan untuk jantung bagi hospital swasta ialah dalam lingkungan RM30,000.00. Oleh kerana kos yang begitu besar dan keadaan saya tidaklah sebegitu tenat maka saya disyorkan oleh doktor pakar tersebut untuk merujuk kepada hospital kerajaan.
Setelah keluar daripada hospital tersebut dan diberikan ubat, saya pun kembali ke rumah. Sewaktu menunggu masa untuk membuat pemeriksaan di hospital kerajaan, saya turut mengambil kaedah lain supaya cepat sembuh dengan mengambil makanan tambahan iaitu minum Gamogen. Gamogen ialah sejenis ubat yang diperbuat daripada gamat. Saya terpaksa berhenti minum Gamogen kerana kandungan air dalam badan saya kembali meningkat dan badan saya kembali membesar kerana saya akan berasa kehausan setelah meminum produk tersebut. Keluarga saya terus berusaha mencari produk yang terbaik untuk saya bagi memulihkan injap jantung tersebut supaya tidak perlu menjalani pembedahan.
Demi untuk mencari produk yang terbaik, ayah saya telah menemui seorang daripada rakan karibnya yang mengesyorkan supaya saya mengambil produk daripada Amway. Setelah daripada itu, ayah saya pun pergi membeli produk tersebut. Saya memakan sebanyak 7 jenis makanan tambahan daripada Amway dimana setiap satu ia memerlukan sebanyak RM550 untuk kesemua tujuh produk tersebut bagi setiap bulan. Setelah seminggu mengambil produk tersebut banyak perubahan telah berlaku kepada saya dimana badan saya semakin cergas berbanding dua bulan yang lepas sehingglah sekarang.
Setelah sekian lama menunggu temujanji dengan hospital kerajaan, jadi pada 30 Julai 2008 saya pun pergi ke hospital kerajaan. Setibanya di hospital berkenaan saya pun diperiksa dan setelah diperiksa doktor mengarahkan supaya saya kembali ke hospital pada 14 Oktober 2008 untuk menjalani pembedahan. Saya juga telah diterangkan apa yang perlu dibawa dan dibeli untuk pembedahan tersebut. Tetapi terpaksa saya tangguhkan pembedahan pertama saya kerana terpaksa menghadiri temuduga pada 13 Oktober 2008 untuk kerja yang saya pegang sekarang. Setelah selesai menghadiri temuduga, saya pun pergi ke hospital untuk diperiksa dan membuat temujanji yang seterusnya. Semasa pemeriksaan dilakukan, doktor berasa agak hairan kerana terdapat perubahan pada injap jantung saya. Jadi pembedahan saya yang seterusnya ialah 15
Disember 2008.
Oleh kerana temuduga yang saya hadiri lulus, jadi saya terpaksa tangguhkan semula pembedahan saya yang kedua kerana saya diarahkan untuk melaporkan diri ke Putrajaya pada 24 Februari 2009 dan pembedahan saya yang seterusnya ialah pada bulan Jun. Setelah melaporkan diri di Putrajaya dan mendapat penempatan di Jabatan Peguam Negara Sarawak, pada awal bulan Mac 2009 saya pun pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan temujanji yang seterusnya. Sekali lagi doktor yang memeriksa berasa hairan kerana injap jantung saya semakin kuat berbanding dulu, jadi pembedahan saya yang seterusnya ialah pada bulan 14 Disember 2009.
Setelah berkerja selama beberapa bulan jadi tibalah masa untuk saya menjalani pembedahan. Saya mendaftar diri di hospital pada 13 Disember 2008. Semasa berada di hospital, saya pun diperiksa dan setelah diperiksa jururawat pun mencukur segala bulu yang ada dibadan kerana badan perlulah bersih dari sebarang bulu. Pembedahan saya akan bermula pada pukul 8 pagi keesokan harinya. Jadi pada malam itu saya telahpun diberi taklimat mengenai apa yang perlu dibedah. Apabila menjelang subuh, saya agak terkejut apabila dikejutkan oleh jururawat dan jururawat tersbut menyuruh saya daftar keluar kerana pembedahan saya terpaksa ditangguhkan ke 27 Jun 2010. Saya berasa heran dan persoalan itu masih belum terjawab sehingga hari ini.
FAKTA: Simptom lemah jantung
  • Letih dan lemah
  • Nafas pendek apabila baring
  • Batuk yang kerap
  • Bengkak (edema) di kaki, buku lali dan jari kaki
  • Bengkak pada perut (kembung)
  • Berat badan bertambah kerana sembab air (fluid retention)
  • Kurang selera makan dan loya
  • Denyut nadi yang pantas atau tidak sama
Faktor Lemah Jantung
Masalah injap jantung – Empat injap jantung memastikan darah mengalir pada arah yang betul melalui jantung. Injap yang rosak memaksa jantung bekerja lebih keras bagi memastikan darah mengikut arah aliran yang betul. Lama kelamaan, kerja ‘lebih keras’ ini melemahkan jantung .
Faktor Lain Yang Boleh Menyebabkan Penyakit Jantung ialah:
  • Merokok
  • Arak
  • Kurang zat makanan
  • Sikap Panas baran
  • Stress
Langkah Pencegahan
Perubahan gaya hidup dan ubat ubatan. Ia memperlahankan proses lemah jantung dan membaiki kualiti hidup. Antaranya berhenti merokok, kawal masalah tekanan darah tinggi dan kolesterol, bersenam dan mengamalkan diet yang sihat. Ambil ubat-ubatan jika disarankan doktor.
Pengajaran Daripada Pengalaman Yang Saya Lalui
Tujuan saya menceritakan sedikit mengenai pengalaman saya ketika berhadapan dengan penyakit jantung adalah untuk memberi kesedaran kepada tuan/puan supaya sedar dan haruslah sentiasa menjaga kesihatan dengan sebaik mungkin. Kerana setelah kita jatuh sakit/diserang sesuatu penyakit, peratus untuk pulih semula seperti sedia kala adalah amat tipis. Jadikanlah cerita saya ini sebagai satu iktibar untuk kita semua menjaga kesihatan kerana kesihatan yang baik amat penting untuk kita menjalankan tugasan seharian.

No comments:

Post a Comment